Bekerjasama Laksana Projek Tepat Masa

07.07.2013
 

7 Julai 2013

 

Bekerjasama Laksana Projek Tepat Masa

 

RAWANG 7 Julai - Kerajaan dan sektor swasta digesa bekerjasama bagi memastikan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan projek-projek lain di bawah lima koridor, Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dan inisiatif Program Transformasi Bandar (UTP) dilaksanakan tepat pada masa.

 

"Seperti yang kita semua tahu, pembinaan adalah pemboleh penting kepada Bidang Keberhasilan Utama Nasional serta jentera pertumbuhan di bawah ETP," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

 

Bercakap di majlis sambutan ulang tahun ke-60 Lafarge Malaysia Bhd. di sini, semalam, beliau berkata, industri simen berfungsi sebagai pembekal kepada industri pembinaan dan memainkan peranan utama dalam pelaksanaan program pembangunan prasarana yang diusahakan kerajaan.

 

Lafarge Malaysia merupakan syarikat induk sebuah kumpulan syarikat di Malaysia dan Singapura dan perniagaan terasnya adalah dalam pembuatan dan penjualan simen, konkrit siap campur, agregat dan bahan material berkaitan lain.

 

Hamim berkata, kerajaan mahu pengeluar simen lebih inovatif dalam proses mereka selain menambah baik produktiviti dan kapasiti pengeluaran.

 

"Kami mengharapkan pertumbuhan tinggi eksport simen dan komitmen industri bagi memenuhi peningkatan permintaan tanpa berkompromi dengan kualiti keselamatan pengguna akhir," katanya kepada Bernama.

 

Beliau berkata, jumlah penggunaan simen seluruh dunia ialah sebanyak 3.3 bilion tan metrik pada 2010, naik kepada 10.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan penggunaan global meningkat kepada 3.6 bilion tan metrik pada 2011 dan 3.7 bilion tan metrik pada 2012.

 

"Industri pembinaan Malaysia dan sektor perkhidmatan dijangka memainkan peranan penting dengan menyumbang 11.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar tahun ini, dan ini hanya boleh dicapai apabila kedua-dua kerajaan dan sektor swasta saling bekerjasama," katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge Malaysia Bradley Mulroney berkata, syarikat itu akan terus menyumbang dari segi menyediakan penyelesaian yang diperlukan bagi memenuhi cabaran peningkatan perbandaran.

 

"Di Malaysia, jumlah penduduk dijangka mencecah 35 juta menjelang 2020 dengan lebih 70 peratus tinggal di kawasan bandar, dan kami percaya Lafarge akan memainkan peranan penting dalam landskap baharu ini," katanya. - BERNAMA